Kek Tenun
Bahan dan Alat
Benang dan pewarna ialah bahannya.
Alatnya pula terdiri daripada kek tenunan, kek mengarat, rahak, peleting buluh
(bobbin), lidi daun kelapa, papan gulung, anak kayu, dua belira, sikat dan
jentera, jarum culik, batang anak kayu, kayu karat, benang losen, lidi nibung atau
buluh, benang batang bunga songket, darwin pakan, darwin benang emas, cuban,
torak pakan, torak benang emas dan sumbi.
Teknik dan Proses
Setelah benang dibersihkan dan
dimasukkan ke dalam pencelup warna, ia dibilas dengan air dan dijemur hingga
kering. Lapan proses lagi yang terlibat sebelum sesuatu tenunan boleh disiapkan
ialah melerai, menganing, menggulung, menyampuk, menghubung, mengarak, menyolek
dan menenun.
1. Melerai
Benang yang telah kering dimasukkan
ke dalam sejenis alat yang bernama rahak untuk diputarkan pada satu alat yang
bernama peleting. Proses ini dipanggil melerai. Terdapat dua jenis rahak, iaitu
darwin pakan dan darwin emas. Darwin pakan digunakan untuk benang pakan sahaja.
Ia diperbuat daripada buluh dan tali atau rotan. Darwin emas pula digunakan
untuk benang emas sahaja dan diperbuat daripada kayu atau dawai kerana benang
emas kasar dan berat.
2. Menganing
Benang yang telah menjalani proses
melerai dimasukkan ke dalam alat menganing untuk menentukan ukuran panjang
benang yang hendak dimuatkan pada alat ini. Biasanya segulung benang pakan atau
seloseng yang berukuran 26 - 31 m boleh menghasilkan 12 - 14 helai kain.
3. Menggulung
Benang yang telah dianing akan
digulung pada papan gulung mengikut lebar gigi jentera dan panjang losen pada
papan gulung yang hendak dipasung. Losen ialah benang yang memanjang pada kek.
Kedudukan benang perlu diperiksa setiap tiga kali menggulung untuk memastikan
susunan kemas.
4. Menyampuk
Menyampuk ialah proses memasukkan
benang losen ke dalam gigi jentera atau sikat. Biasanya, proses ini dilakukan
di dalam kek mengarak supaya senang untuk menyampuk benang kepada jentera.
Setiap lubang sikat disusukan dua urat benang losen. Pada kedua belah hujung
sikat itu disusukkan empat urat benang supaya tepi kain tidak terkoyak apabila
disangkutkan pada kayu sumbi kain. Sumbi kain ialah sebatang anak kayu yang
mempunyai paku di kedua-dua belah hujungnya. Sumbi kain menjaga tepi kain tenun
supaya sama jarak dan tidak berkedut.
5. Menghubung
Menghubung ialah proses
menyambungkan benang daripada losen kepada benang yang tertinggal pada jentera.
Cara ikatannya dipanggil ubung tindas. Proses ini bertujuan menyambungkan
benang losen untuk menenun. Meja kecil dinamakan meja hidangan berukuran 10 cm
panjang, 8 cm lebar dan 20 cm digunakan untuk menghubung.
6. Mengarak
Kerja mengarak dilakukan setelah
selesai proses menyampuk. Mengarak dilakukan dengan melilit benang asing atau
benang karat kepada kayu karat, termasuk benang losen. Jumlah karat yang
digunakan biasanya hanya dua karat dan setiap karat mempunyai empat batang anak
kayu.
7. Menyolek
Kerja menyolek bunga merupakan kerja
yang paling rumit dalam proses menenun kain songket. Cara menyolek reka corak
adalah dengan menyusulkan lidi-lidi buluh pada benang losen yang dikehendaki.
Biasanya kain songket ditenun dengan teknik tekat tiga atau tekat lima. Jika
menggunakan tekat lima, setiap lima unit benang losen, satu benang alas ditolak
ke bawah dan benang-benang alas ini disengkang pula dengan belira. Setelah
benang losen berada di atas, barulah kamu boleh menyolek dalam pelbagai corak
pada benang losen dengan menggunakan lidi buluh. Belira dimasukkan pada setiap
lidi buluh tadi mengikut giliran. Belira ditegakkan untuk menyenangkan ikatan
benang butang. Butang-butang inilah yang akan menjadikan corak atau motif bunga
di atas kain songket. Apabila selesai proses menyongket, benang losen bersama
karat-karatnya ditukar ke kek tenun untuk ditenun agar menjadi kain songket.
8. Menenun
Menenun adalah proses terakhir,
iaitu benang losen dipangkah oleh benang pakan untuk dijadikan kain. Bagi kain
songket bercorak penuh, benang emas dilayarkan melalui torak benang emas untuk
menghasilkan sulaman motif bunga atau hiasan reka corak penuh. Bagi kain
songket corak melintang atau corak bunga bertabur, benang emas dilayarkan
melalui cubaan untuk mendapatkan motif-motif yang dikehendaki. Lazimnya selepas
satu benang emas dilayarkan, ia dikepuh (beat) dan diikuti pula dengan
melayarkan dua benang pakan. Penenun akan menukarkan benang butang mengikut
giliran dan corak yang telah ditentukan. Proses ini diulangi sehingga
menghasilkan sehelai kain songket.
No comments:
Post a Comment